dMuvii Channel

dMuvii

Monday, July 4, 2011

DMuvii: Gegar! Kesilapan tegar...


Anda bercadang untuk merakamkan aktiviti anak-anak anda sewaktu mereka bermain di taman petang nanti. Sampai di taman permainan, anda melepaskan anak-anak anda bermain dan anda mengambil kamera/camcoder anda dari dalam beg. Sambil memerhatikan mereka dari jauh, anda merekodkan segala pergerakan anak-anak anda dari tempat anda duduk....

Bila tiba di rumah, anda memainkan semula rakaman-rakaman video anda tadi dan... ALAMAK! Kenapa semua gambar goyang? Jauh pulak tu... Ish! Apa yang aku rakam ni? Nak masukkan dalam Facebook pun segan, tak nampak menarik langsung!

Saya pasti, ini adalah pengalaman-pengalaman pahit yang anda lalui. Mungkin pada fikiran anda... "Alah, aku punya kamera murah je. Mana nak sama dengan kamera yang diorang guna buat video kahwin..."

Sebenarnya, anda boleh menghasilkan rakaman video yang kelihatan profesional sekiranya beberapa kesilapan ini dapat anda atasi:
  1. SERING MENGABAIKAN PENGGUNAAN TRIPOD
    • Ini adalah perkara yang selalu kita tak mahu ambil berat. Alasannya, mengambil gambar menggunakan tripod nampak tak profesional dan remeh. Banyak benda nak kena bawa, sedangkan anda cuma nak suka-suka merakam video peribadi saje... kan!
    • Cadangan saya, gunakanlah tripod walau di mana saja anda membuat rakaman. Pedulikan mereka di sekeliling. Anda harus ingat bahawa rakaman anda itu akan berlaku hanya sekali sahaja dan pada masa itu saja, ianya tak akan dapat dirakam untuk kali kedua!
    • Sekiranya membawa tripod membuatkan anda tidak selesa, cuba gunakan kedua belah tangan anda untuk menopang kamera. Tangan kanan memegang kamera, manakala tangan kiri menopang di sebelah bawah kamera. Rapatkan kedua siku kanan dan kiri di dada anda.
  2. KEDUDUKAN ANDA JAUH DARI SUBJEK
    • Pastikan jarak anda dengan subjek dalam lingkungan tiga langkah anda. Jadi, anda tidak perlu menggunakan zoom untuk kompos subjek di dalam viewfinder. Sekaligus gegaran di dalam visual dapat diminimakan.
    • Kalau tak guna zoom, tak dapatlah bokeh di belakang subjek! Mudah saja, Jika anda menggunakan DSLR, pastikan anda menggunakan setting aparture F-Stop pada nombor yang lebih rendah (contohnya; f1.8 / f2.0 / f2.8 / f3.5). Pastikan jarak di antara anda dengan subjek kira-kira selangkah atau dua langkah anda.
  3.  TIADA PERANCANGAN
    • Apa yang dimaksudkan tiada perancangan. Saya maksudkan di sini, kita hanya menggunakan kaedah POINT & SHOOT, iaitu apa yang kita nampak kita rekod sahaja tanpa mengambil kira faktor kedudukan subjek, latar belakang, jarak, cahaya dan setting yang sesuai pada waktu itu.
    • Faktor-faktor ini menjadi penyebab kualiti rakaman kita tidak secantik seperti yang diharapkan.
    • Walaupun kita hanya suka-suki je, cuba jadikan amalan menilai sepantas boleh pada masa itu dengan memastikan subjek lebih menonjol dari latar belakang. Elakkan latar belakang yang terlampau semak (mungkin orang ramai yang berada di sekitar, kenderaan yang parking berhampiran, gerai-gerai atau apa-apa objek bergerak lain yang boleh mengganggu tumpuan kita untuk melihat subjek utama.
    • Jika tak sempat nak gunakan setting MANUAL, gunakan setting APARTURE/SPEED atau PROGRAM sahaja untuk mengelakkan kualiti gambar menjadi hancus. 
    • Pastikan ada cahaya (Available-light) yang mencukupi. Lihat kedudukan matahari sebaiknya menyuluh subjek dan bukannya di belakang subjek. Keadaan itu nanti menjadikan cahaya tersebut BACKLIT dan subjek menjadi gelap jika dibandingkan dengan latar belakang.
    • Elakkan juga mengambil gambar di bawah sesuatu yang melindung cahaya, contohnya di bawah pokok, cahaya terlindung bangunan berhampiran atau diwaktu senja. 
    • Apabila anda terpaksa merakam di waktu yang hampir gelap, saya syorkan anda menggunakan bantuan portable light yang dipancarkan kepada subjek di sisi dan bukan secara terus di hadapan subjek. Ini juga menyebabkan subjek anda menjadi over-exposure dan boleh merosakkan kualiti rakaman anda.
  4. POSISI ANDA YANG TIDAK SELESA
    • Perakam amatur (atau suka-suka) biasanya berasa malu untuk merakam di khalayak ramai. Saya syorkan supaya anda belajar mengawal diri dan cuba abaikan keadaan sekeliling dan fokus kepada subjek anda sahaja.
    • Dapatkan kedudukan dengan posisi badan yang menegak. Ini boleh membantu tangan yang disandarkan pada badan yang menjadi penopang tadi. Cuba dapatkan level LCD monitor kamera kita selari (90*) dengan mata kita.
    • Jika merakam gambar kanak-kanak atau subjek yang lebih rendah, anda perlu melutut dengan posisi badan yang masih menegak dengan kedua tangan ditopangkan ke badan. Jangan membongkok! Ini akan menjadikan tangan dan pinggang anda lenguh dan sekaligus menyebab goyangan yang lebih kuat.
    • Bernafas dengan perlahan atau tahan nafas dalam kadar 10-15 saat disetiap rakaman yang dibuat.
  5.  HAD RAKAMAN
    • Banyak sumber dari videographer profesional mencadangkan, hadkan setiap rakaman di antara 10-15 saat sahaja bagi setiap klip. Sekiranya anda memerlukan rakaman yang lebih lama, hendaklah menggunakan tripod atau kaedah memegang kamera yang dinyatakan di atas.
Okeylah, rasanya tips kali ini telah diterangkan dengan agak panjang. Kaedah ini adalah sama jika anda mahu mengambil foto atau video. Tetapi penguasaan adalah lebih semasa merakam video kerana subjek atau sesuatu yang dirakam mengandungi pergerakan dan terpaksa meminimakan goyangan untuk mendapatkan hasil yang berkualiti.

Selamat mencuba!

1 comment:

  1. Assalamulaikum..
    blog tuan ini sangat bagus!!TAHNIAH..
    teruja saya dubuatnye..rasenyer nak kena beli D5100 segera..supaya saya boleh praktis. hrp tuan dpt bantu ye :)
    TQVM

    ReplyDelete